Penggunaan
teknologi pada abad ke 21 ini dapat dilihat semakin meluas sama ada dalam
bidang perniagaan, pembangunan malah kini yang menjadi tumpuan ialah penggunaan
teknologi maklumat dalam bidang pendidikan. Dengan penggunaan teknologi maklumat
secara menyeluruh mampu meningkatkan tahap kemahiran pelajar-pelajar untuk
mendapat maklumat dengan berkesan. Teknologi dapat mempermudahkan tugas serta
meningkatkan prestasi guru seperti penggunaan teknologi untuk kerja-kerja
pengurusan dan kerja-kerja pengajaran pembelajaran.
Kita
kini dikatakan berada dalam satu masa perubahan iaitu dari zaman industri ke
zaman informasi. Justeru itu, penggunaan teknologi maklumat seharusnya bukanlah
lagi menjadi sesuatu yang asing dalam pendidikan. Dalam konteks pendidikan,
teknologi maklumat merupakan satu rangkaian elektronik untuk mencari,
mengumpul, menyimpan, memproses dan menyampai maklumat secara efektif dan pantas
untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran. Sehubungan itu juga,
kejayaan ICT dalam pendidikan khususnya bukan hanya terletak pada teknologi
tetapi juga melibakan faktor lain seperti pendekatan pedagogi, subjek yang
diajar, jenis pelajar, tahap pencapaian pelajar, keperluan pelajar, guru dan
persekitaran bilik darjah. Pendekatan penggunaan ICT dalam proses pengajaran
dan pembelajaran membolehkan bilik darjah bertemu dengan dunia nyata serta
membolehkan pelajar-pelajar meneroka mencari maklumat.
Dalam
menjayakan penggunaan teknologi maklumat dalam proses pengajaran dan
pembelajaran memerlukan gandingan semua pihak. Di sekolah, guru terutamanya
perlu yakin bahawa terdapat banyak kepentingan penggunaan ICT dalam pengajaran
dan pembelajaran. Guru juga perlu mempelajari serta diberikan kemahiran yang
mencukupi untuk menggunakan peralatan ICT secara cekap dan efektif. Keupayaan
seseorang untuk menggabungkan teknologi maklumat dalam pengajaran bukan berlaku
secara automatis, tetapi memerlukan kepada usaha yang berterusan yang penuh
dengan minat. Justeru, adalah penting bagi guru-guru untuk membuat persediaan
yang mencukupi agar dapat memenuhi tuntutan dan jangkaan masyarakat untuk
menggabungkan ICT dalam pengajaran.
No comments:
Post a Comment