Jenayah siber kini menjadi satu lagi ancaman kepada
dunia berikutan peluasan penggunaan internet dan multimedia dalam pelbagai
urusan harian. Kemunculan komputer dan internet sememangnya sebagai satu alat
komunikasi terkini yang dapat memudahkan kehidupan manusia, tetapi pada masa yang
sama, ia boleh mengundang bahaya jika tidak dikawal dan ditangani dengan sebaiknya.
Kemunculan internet sebagai alat komunikasi terkini menjanjikan satu wadah
penyebaran maklumat yang dapat memantapkan pencapaian ilmu dan maklumat. Namun,
disebabkan tiada sesiapa yang mengawal perjalanan maklumat dalam dunia siber,
berjuta-juta laman web diwujudkan. Berikutan itu, kewujudan pelbagai maklumat
yang tidak diketahui kesahihannya seperti idea, ideologi, propaganda dan tidak
kurang pornografi yang disebarkan melalui internet telah membimbangkan kita.
Jenayah siber juga boleh terjadi dalam pelbagai bentuk seperti penyelewengan,
fitnah, menghina, menghasut serta pelbagai bentuk serangan secara maya yang
boleh mengancam sesebuah kerajaan dan negara. Justeru, jika jenayah siber ini
tidak ditangani secara cekap dan berkesan, ia boleh membawa banyak kemudaratan
kepada masyarakat dunia.
Persoalannya, sejauh mana kita dapat menangani
jenayah siber secara berkesan dalam dunia tanpa sempadan ini? Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak ketika berucap merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Telekomunikasi
dan Teknologi Maklumat (TELMIN) ASEAN, beliau menyeru agar cabaran baru kesan
daripada kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) itu tidak harus
dilupakan atau dipandang mudah kerana ancamannya boleh mengakibatkan kesan
negatif terhadap ekonomi dan negara. Justeru, gesaan Perdana Menteri supaya
ASEAN mengambil langkah berkesan untuk meningkatkan keupayaan menangani ancaman
jenayah siber serantau yang semakin canggih sehingga menimbulkan risiko besar
kepada negara dan kerajaan perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.
Antara langkah yang wajar diambil termasuk membina keupayaan kerajaan dalam
aspek penguatkuasaan undang-undangnya serta peka terhadap ancaman siber
sekarang dan pada masa depan. Beban pembuktian dalam jenayah siber adalah lebih
besar jika dibanding dengan jenayah lain. Oleh itu, kepakaran forensik mengenai
komputer yang selari dengan bidang perundangan dan pembuktian perlu
ditingkatkan. Mengambil contoh Malaysia, walaupun negara mempunyai Akta
Keterangan dan Akta Telekomunikasi untuk mendakwa mereka terbabit jenayah
siber, ia bukanlah perkara mudah tanpa kecekapan dan kepakaran untuk
mengemukakan bukti kukuh.
Apapun, perkara lebih penting adalah mendidik
rakyat menggunakan internet secara beretika berasaskan budaya Timur yang diwarisi
ASEAN. Pengguna internet dalam kalangan penduduk ASEAN tidak wajar terlalu
terikut cara Barat yang lebih menekankan soal kebebasan bersuara, berfikir dan
hak sehingga membawa elemen negatif kepada masyarakatnya. Kebebasan keterlaluan
atas nama hak asasi manusia dalam mengharungi dunia siber hanya merosakkan
pemikiran dan mewujudkan peluang merebaknya jenayah siber. Kita percaya ASEAN
mampu mendidik rakyatnya untuk menggunakan internet secara selamat dan
bertanggungjawab seterusnya membawa kebaikan kepada generasi hari ini dan masa
depannya.
Ruangan Minda Pengarang
Berita Harian
15 Januari 2011
No comments:
Post a Comment